Santan Kelapa baik untuk Kesihatan
Santan Kelapa baik untuk Kesihatan

SANTAN KELAPA BAIK UNTUK KESIHATAN

Lazimnya kita sering mendengar makanan yang berlemak dan dimasak menggunakan santan mengandungi kolestrol yang tinggi.

Hal ini juga telah menjadi stigma bahawa santan hanya mendatangkan keburukan dan sayangnya fakta sebenar santan mengandungi manfaat dan khasiat yang diperlukan tubuh. 

Antara beberapa khasiat lain santan kelapa untuk kesihatan adalah ia baik untuk tulang kita supaya menjadi sihat dan kuat. Seringkali kita mempercayai bahawa kalsium saja sudah cukup untuk membuat tulang kita sihat dan kuat. Tetapi badan kita memerlukan Fosforus bersama kalsium untuk memliki tulang sihat, kuat dan kukuh.

Santan merupakan sumber dari fosforus yang tinggi didalamnya. Santan juga kaya dengan zat besi. Penyebab anemia adalah kerana kekurangan zat besi.

BENARKAN SANTAN MENINGKATKAN KOLESTROL?

Santan kelapa adalah satu bahan masakan yang digunakan oleh masyarakat di Malaysia sejak dari dahulu lagi. Masakan seperti rendang dan lemang yang popular semasa sambutan hari raya menggunakan santan dalam penyediaanya. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, masak lemak cili api diamalkan hampir setiap hari juga menggunakan santan. 

Bukan hanya masyarakat Melayu, masyarakat India juga banyak menggunakan santan dalam masakan mereka. Kebanyakan penduduk di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik adalah pengguna santan dalam masakan harian mereka. 

Kita selalu dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan santan dalam masakan seharian kita kerana ia mengandungi lemak tepu yang tinggi dan dikatakan boleh menyebabkan masalah peningkatan paras kolestrol dalam darah. Ada juga pemakanan yang mencadangkan penggunaan susu sebagai ganti kepada santan dalam makanan.

Ironinya terdapat kajian sains mendapati masyarakat yang mengambil santan selalu dalam makanan mereka mempunyai kadar penyakit jantung yang rendah dan paras kolesterol yang rendah juga.

Diantara kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan Asia Pasific pada tahun 2011, yang dijalankan di Filipina mendapati pengambilan minyak kelapa dalam makanan seharian dikalangan wanita pra menopause meningkatkan kolesterol  baik HDL-c dan menurunkan kolesterol 'jahat' jenis LDL dan Trigliserida. Oleh itu, ia mempunyai faedah kesihatan yang baik menurunkan risiko sakit jantung.

Yang lebih menarik lagi adalah, data dari negara Filipina yang dilaporkan oleh Philippine National Nutrition Survey (PNNS) pada 2003 juga mendapati relatif insiden yang rendah untuk masalah kolesterol berlebihan(hypercholesterolemia), darah tinggi(hypertension), angin ahmar(stroke) dan sakit jantung dikalangan penduduk yang mengambil santan dan minyak kelapa yang tinggi dalam makanan seharian mereka. 

Kumpulan asid lemak rantaian sederhana didalam santan dan minyak kelapa lebih cepat dimetabolismakan dalam hati manusia dan menurunkan paras kolesterol. Oleh itu, ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Disamping itu juga, santan atau minyak kelapa ini mempunyai kesan positif yang lain seperti anti fungal, anti virus, anti mikrobial dan anti protozoa. 

Terdapat kajian di India memberikan kesimpulan yang positif kepada kesihatan dengan pengambilan santan dalam makanan. Oleh itu, pendapat yang menyatakan pengambilan santan menyebabkan peningkatan paras kolesterol dalam darah adalah suatu pendapat yang kurang tepat.

Terdapat banyak kajian lain yang merumuskan fakta yang bertentangan, tetapi kajian-kajian yang menunjukkan santan bukanlah faktor utama yang menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Kajian juga mendapati penduduk dunia yang makan santan setiap hari mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding dengan masyarakat moden yang mengambil makanan segera dan makanan proses.

Kajian-kajian terkini mendapati pengambilan karbohidrat dan gula yang tinggi adalah lebih berkait rapat dengan masalah penyakit kardiovaskular dan peningkatan paras kolesterol berbanding pengambilan lemak atau minyak dalam makanan. Kajian juga mendapati pesakit kencing manis selalunya mempunyai paras kolesterol yang lebih tinggi kerana paras gula yang tinggi dalam darah walaupun tidak makan santan setiap hari.

Ambillah santan dalam pemakanan sebagaimana yang biasa tanpa kita perlu bimbang tentang kesan kepada kesihatan jantung tetapi yang perlu kita kawal adalah pengambilan gula pasir dan makanan proses kerana kandungan lemak TRANSnya merbahaya kepada kesihatan jantung.

Masa Terbitkan : 23-Jan-2021

Switch To Desktop Version